Grafik Media Selangor
AGENDAEKONOMINASIONAL

Malaysia perlu promosikan pelaburan intensif teknologi

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Malaysia kini harus fokus untuk menarik kemasukan pelaburan asing berintensifkan teknologi ke negara ini untuk selepas mencatatkan kemerosotan dalam daya saing industri berintensifkan buruh, kata Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Beliau berkata ia dapat dilakukan dengan melakukan pelaburan besar kepada prasarana fizikal untuk meningkatkan industri berasaskan teknologi dan kemahiran.

Kempen promosi lain adalah dengan mempromosikan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta memperkukuhkan kemudahan sedia ada seperti pembiayaan modal teroka bagi syarikat pemula niaga, katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

“Semakin banyak sokongan tempatan terhadap teknologi, semakin mudah untuk menarik syarikat multinasional menjalankan operasi merkea di Malaysia dan bukannya Singapura,” katanya mengulas kepada laporan media mengenai pelaburan asing yang merosot.

Minggu lepas, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTACD) melaporkan bahawa pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia jatuh lebih daripada dua pertiga kepada hanya US$2.5 bilion tahun lepas dalam persekitaran pandemik Covid-19.

Menurut Mohd Sheriff yang juga Pengasas Bersama Kumpulan Bekas Penjawat Awam (G25), trend penurunan pelaburan asing ke Malaysia sudah dijangka kerana negara tidak lagi berdaya saing dalam kos buruh berbanding dahulu.

“Sebenarnya, banyak syarikat di Malaysia telah memindahkan kilang pembuatan berintensifkan buruh mereka ke negara jiran, antaranya kilang tekstil yang telah pindah ke Vietnam dan Kemboja.

“Beberapa kilang semikonduktor asing di Bayan Lepas telah memindahkan operasi pemasangannya ke negara-negara Asean yang lain dengan mengekalkan operasi yang lebih berintensifkan teknologi di sini,” katanya.

Mohd Sheriff berkata Malaysia juga menghadapi banyak persaingan dari Indonesia dan Vietnam yang meningkatkan infrastruktur mereka sehingga sekarang mereka kini setanding dengan Malaysia.

“Mereka juga telah menambah baik pelbagai proses urusan seperti pemilikan tanah dan kawalan pemilikan asing dalam dalam usaha sama, Indonesia mencatatkan kemajuan yang baik dalam memerangi rasuah yang berleluasa sebelum ini,” kata Mohd Sheriff.

– BERNAMA


Pengarang :