AGENDAEKONOMINASIONAL

Malaysia perlu sambungan internet stabil pacu ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Malaysia memerlukan infrastruktur dan kesambungan Internet yang amat stabil, teguh dan boleh dipercayai memandangkan penggunaan oleh sektor kerajaan, perniagaan dan rakyat pasti meningkat pada tahun-tahun akan datang untuk pertumbuhan ekonomi digital berterusan.

Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX), Chiew Kok Hin berkata inisiatif MyDigital, yang akan dilaksanakan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, merupakan langkah strategik ke arah mengembangkan lagi ekonomi digital Malaysia.

Beliau berkata semakin banyak pengendali pusat data yang berpindah, dan berpindah ke Malaysia untuk meningkatkan kelajuan data bagi memenuhi keperluan bandar-bandar padat penduduk di rantau Asia Tenggara.

“Ini termasuk pusat data berskala besar yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat yang mereka sokong, selain menawarkan penggunaan mampan dan boleh skala serta portfolio perkhidmatan penstoran kepada individu dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata Malaysia memiliki kelebihan dalam infrastruktur Internet susulan kedudukan geografinya yang strategik, akses mudah dan kos awal pula agak rendah.

Chiew berkata negara mempunyai kelebihan strategik dari segi menempatkan penyedia tempatan dan antarabangsa.

“Peserta asing yang mewujudkan operasi pusat data di Malaysia termasuk Alibaba, Hitachi, NTT, Microsoft, IBM dan Bridge Data Centres.

“Justeru, dasar kerajaan sewajarnya perlu sentiasa mesra pelabur sekiranya kita mahu terus menarik pelabur asing ke Malaysia,” katanya.

Antara strategi dalam rangka tindakan itu yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah menarik lebih banyak pendaratan kabel dasar laut antarabangsa di Malaysia bagi memperluas ketersambungan global untuk menjana peningkatan pelaburan dalam ekonomi digital serta capaian Internet lebih dipercayai dan laju.

Sasaran di bawah strategi ini adalah Malaysia mempunyai bilangan pendaratan kabel dasar laut terbanyak di Asia Tenggara pada 2025.

Chiew berkata aspek itu turut menjadi perhatian firma multinasional asing yang melabur dalam kabel dasar laut di Malaysia.

Beliau berkata isu kontroversi atau utama pada masa ini adalah pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang melaksanakan pembaikan kabel dasar laut seperti dibangkitkan pada November lepas.

Ekoran itu, pembaikan kabel dasar laut mengambil masa sehingga 27 hari di Malaysia, jauh lebih panjang berbanding tempoh di negara lain di Asia Tenggara, dengan 20 hari di Filipina, 19 hari di Singapura dan 12 hari di Vietnam.

“Malaysia perlu menyelesaikan masalah kabotaj, secara khususnya pengecualian kabotaj untuk kapal asing melakukan pembaikan kabel bawah laut perlu diperkenalkan semula secepat mungkin, dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan kabel dasar laut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :