Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Malaysiakini didenda RM500,000, komen pembaca hina mahkamah

PUTRAJAYA, 19 FEB: Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mkini Dotcom Sdn Bhd membayar denda RM500,000 selepas mendapati syarikat itu bersalah menghina mahkamah menerusi penerbitan komen pembaca.

Bagaimanapun, mahkamah tidak berpuas hati kes telah dibuktikan melangkaui keraguan yang munasabah terhadap Ketua Pengarang Malaysiakini Steven Gan, justeru berpendapat lelaki itu tidak bersalah menghina mahkamah.

Mahkamah memerintahkan Mkini Dotcom membayar denda itu dalam tempoh tiga hari bermula Isnin.

Keputusan Mkini Dotcom bersalah menghina mahkamah dicapai menerusi majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang, diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf.

Keputusan majoriti dibuat oleh Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.

Rohana berkata mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan, justeru memutuskan syarikat tersebut bersalah menghina mahkamah.

Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel yang diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.

Pada 17 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ex-parte Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Gan.

Pada 2 Julai tahun lepas, Mkini Dotcom yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, dan Gan gagal membatalkan kebenaran yang diperoleh Jabatan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka.

– BERNAMA


Pengarang :