Selangorkini
Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021. Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

MASkargo kongsi kisah bawa vaksin pertama Covid-19 ke tanah air

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Cabaran kisah di sebalik penerbangan pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) Ibrahim Mohamed Salleh.

Beliau berkata antara cabaran dihadapi dalam mengendalikan vaksin Covid-19 itu ialah prosedur pengurusan vaksin yang memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kelancaran pergerakan dari setiap lokasi.

“Kami telah membuat persediaan sejak Ogos 2020 semasa vaksin ini masih dalam peringkat pembangunan. Persiapan dilaksanakan sementara menunggu completion of the trial.

“Kami perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk suhu, kelajuan yang diperlukan semasa proses pengendalian vaksin serta kadar pemejalwapan sekiranya ais kering digunakan,” katanya ketika ditemu bual Bernama TV dalam program khas, Malaysia Terima Vaksin Covid-19 yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Ibrahim berkata bagi operasi di lapangan, pihaknya perlu mengambil kira masa dan kecepatan dalam pengendalian vaksin Covid-19, khususnya bagi prosedur pelepasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, kerana vaksin ini perlu diuruskan segera dan tidak boleh disimpan seperti vaksin atau ubatan lain.

Bagi memastikan kelancaran prosedur kendalian tersebut, beliau berkata MASkargo bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi proses dokumentasi, pengilang dan penghantar barang (freight forwarder ) terlibat sebelum vaksin itu diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ini memerlukan persiapan rapi dan sedikit fine-tuning (perincian) untuk menepati spesifikasi kendalian vaksin ini. Pekerja-pekerja kami juga terlatih kerana MASkargo mempunyai pengalaman yang lama dalam menguruskan pengangkutan vaksin, bukan sahaja vaksin Pfizer Covid-19, (sebelum ini) contohnya, vaksin polio dan difteria,” katanya.

Mengulas mengenai pengendalian vaksin-vaksin lain seperti Sinovac dan AstraZeneca, beliau berkata pihak MASKargo telah bersedia dengan latihan mencukupi bagi pengendalian vaksin berkenaan.

Perjalanan vaksin ini bermula dari kilang Pfizer di Belgium dengan penerbangan membawa vaksin itu berlepas dari Puurs dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.

Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

– BERNAMA


Pengarang :