Dato’ Seri Amirudin Shari memegang sijil suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri di Hospital Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, anggota Majlis Keselamatan Negeri terima suntikan vaksin

SHAH ALAM, 25 FEB: Dato’ Menteri Besar bersama EXCO Kerajaan Negeri hari ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Selain Dato’ Seri Amirudin Shari, anggota Majlis Keselamatan Negeri antara  42 individu yang berbuat demikian di Hospital Shah Alam, di sini pada jam 1.40 petang.

Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

Amirudin tiba di hospital berkenaan pada jam 1.25 petang sebelum mengimbas kod MySejahtera, salah satu daripada lima kaedah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin.

Beliau bersama petugas hadapan, EXCO dan pegawai kanan Kerajaaan Negeri diberi penerangan ringkas sebelum menandatangani dokumen pengisytiharan diri dan persetujuan untuk disuntik.

Mereka kemudian dibawa ke ruangan khas untuk dipantau antara 15 hingga 30 minit bagi mengesan gejala atau kesan sampingan sebelum mendapat pelepasan.

Pada 21 Februari, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari kilang di Belgium.

Selangor menerima 78,000 daripada jumlah tersebut yang akan mengutamakan wakil rakyat dan petugas hadapan serta diagih secara berperingkat mengikut kumpulan sasaran atau berkepentingan.


Pengarang :