Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) menyerahkan tablet kepada Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Dr Shahabuddin Ibrahim (dua, kiri) bagi kegunaan petugas barisan hadapan di MAEPS Serdang pada 2 Februari 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMA SELANGOR

MB harap sumbangan tablet, inisiatif taska bantu KKM

SHAH ALAM, 4 FEB: Sumbangan tablet dan pembukaan taska untuk anak petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Serdang diharap dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif tersebut merupakan salah satu bentuk kerjasama Kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan dalam menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

“Saya menyerahkan tablet sumbangan Kerajaan Negeri untuk kegunaan para petugas barisan hadapan di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Saya turut mengambil kesempatan melawat taska sementara untuk anak-anak petugas di PKRC,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada Selasa lalu, Amirudin berkata taska yang menempatkan anak petugas hadapan di PKRC Serdang bakal beroperasi mulai Isnin depan dan 41 kanak-kanak sudah berdaftar setakat ini.

Beliau turut menyerahkan 14 unit tablet bagi melancarkan urusan petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat rawatan tersebut.

Kerajaan Selangor melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan secara percuma selama dua bulan untuk meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Program itu melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga.


Pengarang :