Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB kongsi keceriaan Tahun Baharu Cina, jarak bukan halangan

SHAH ALAM, 13 FEB: Pandemik Covid-19 bukan halangan untuk masyarakat Tionghoa meraikan Tahun Baharu Cina dengan penuh keceriaan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video khas Tahun Baharu Cina berkata pandemik juga tidak memisahkan hati rakyat untuk terus melihat Selangor maju, aman dan bahagia.

“Jarak dan sempadan antara daerah mahu pun negeri bukan penghalang untuk kita meraikan Tahun Baharu Cina dengan penuh semangat dan ceria. Mari kita berkongsi kekayaan dan keceriaan pada perayaan kali ini yang banyak kelainannya berbanding tahun lalu.

“Sama ada anda merayakan Tahun Baharu Cina di Gombak, Klang atau mana-mana sahaja di Selangor, kami dari Kerajaan Negeri mengucapkan Gong Xi Fa Cai dan pastinya tahun ini membawa ganjaran yang baik atas usaha kita selama ini,” tulisnya di Facebook.

Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu Amirudin bersama EXCO Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina.

Turut bersama diselitkan mesej istimewa perayaan daripada tujuh pegawai Penyelaras Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru dan 77 pengerusi MPKK Kampung Baru dan Pegawai Perhubungan Perkampungan di Selangor.


Pengarang :