Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols sebagai perakuan mendaftar inisiatif pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) di kilang Nestle, Seksyen 15, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Nestle Malaysia kilang terawal penuhi kriteria POIS

SHAH ALAM, 22 FEB: Syarikat pengeluar makanan dan minuman terkemuka, Nestlé (Malaysia) Berhad menjadi kilang terawal yang memenuhi komponen pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS).

Kriteria digariskan meliputi penggunaan platform Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), penubuhan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza dan rejim ujian pengesanan awal.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata syarikat itu mempraktikkan sepenuhnya sistem diperkenalkan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 (STFC) sebagai usaha mengurangkan kluster tempat kerja.

“Ia membuktikan komitmen pengurusan kilang ini yang sentiasa menerapkan disiplin dalam kalangan warga kerjanya dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Berdasarkan pengalaman ditunjukkan, kilang ini tidak menambah pegawai untuk menguruskan operasi mereka dalam tempoh pandemik malah jangkitan Covid-19 sangat rendah,” katanya pada majlis pelancaran POIS di kilang Nestle, Seksyen 15 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Amirudin menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols sebagai perakuan kepada syarikat berkenaan yang mendaftar POIS.

Amirudin menambah kerjasama syarikat tersebut wajar dijadikan contoh supaya keselamatan seluruh warga kerja terjamin selain memastikan operasi kilang berjalan seperti biasa.

“Mungkin sebahagian daripada proses ini (sistem POIS) boleh dipraktikkan dalam sudut berbeza contohnya saringan kesihatan yang dibuat secara berkala untuk tempoh enam bulan jika pandemik sudah berakhir.

“Aspek disiplin harus diterapkan kerana mencegah adalah lebih baik baik daripada merawat dan ini yang sebenarnya terkandung dalam semangat kesihatan umum,” katanya.

Sementara itu, Juan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana mengiktiraf komitmen syarikatnya selain menyifatkan ia sebagai penghormatan terbesar.

“Sejak pandemik melanda negara tahun lalu, kita secara konsisten memastikan semua pekerja selamat supaya operasi dapat diteruskan untuk membekalkan produk kepada premis perniagaan.

“Dari awal lagi, kita mendidik pekerja untuk mematuhi SOP seperti mencuci tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman, menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya.

STFC melancarkan program POIS bagi mengesan kes Covid-19 tanpa menghentikan operasi kilang seterusnya mengurangkan kluster tempat kerja.

Sejak beroperasi secara rasmi pada 1 Februari, beberapa syarikat sekitar Selangor menyertai program berkenaan dan melaksanakan langkah memperkasa kesihatan awam.

Program ini juga diterima baik syarikat di luar Selangor antaranya Celestica Malaysia di Johor dan Kedah.

Industri berminat dengan program POIS boleh melayari dan mendaftar syarikat masing-masing di laman sesawang pois.selangkah.my.


Pengarang :