AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor sediakan peluang, harapan baharu pascawabak

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Negeri komited menawarkan peluang serta harapan baharu kepada golongan terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bertujuan membina semula keyakinan dalam kalangan rakyat untuk bangkit meneruskan kehidupan pascawabak.

“Justeru Belanjawan Selangor 2021 menfokus usaha mewujudkan ekonomi bermaruah, kita mahu mengingatkan rakyat harapan untuk membina semula kehidupan masih ada.

Buku edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19 terbitan Pejabat Menteri Besar Selangor

“Selangor menawarkan pelbagai inisiatif bukan sahaja untuk golongan kurang berkemampuan tetapi juga golongan masih bekerja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui wawancara dalam edisi khas Kita Selangor: Gempur Covid-19.

Kita Selangor, majalah terbitan Pejabat Dato’ Menteri Besar, merakam detik-detik awal Kerajaan Negeri berdepan wabak Covid-19 dan perkembangannya sehingga Oktober tahun lalu.

Majalah setebal 64 halaman ini merekod detik penting, personaliti utama dan contoh program yang dijayakan sepanjang tempoh tersebut. Ia diedarkan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) wakil rakyat, pusat kesihatan, jabatan kerajaan dan orang ramai.

Amirudin berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya meningkatkan kemahiran dan latihan semula kemahiran selain padanan kerja menerusi Program Selangor Kerjaya.

“Kita juga melebarkan ruang perniagaan serta ekonomi menerusi Selangor e-Bazar Raya dengan sasaran 3,000 peniaga, tetapi menerima penyertaan 6,000 peniaga.

“Selain itu saluran e-dagang iaitu Platform Selangor (Plats) dilaksanakan untuk membantu jualan dalam talian serta peluang latihan perniagaan di bawah Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor (Sitec),” katanya.

 


Pengarang :