Pengunjung diwajibkan melakukan imbasan kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Terima semula data, mudahkan Selangor cegah Covid-19

SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Selangor akan menerima kembali perkongsian data semasa keseluruhan wabak Covid-19 seperti sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu dipersetujui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan berharap ia berjalan lancar sekali gus memudahkan tindakan mengekang penularan pandemik.

“Perkongsian data bukan hanya dari aplikasi MySejahtera kepada SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) sebaliknya untuk dua-dua hala.

“Jadi perkara ini tengah dibuat dan harap benar-benar berlaku. Ia sangat penting kerana tindakan seterusnya boleh dirancang, walaupun tidak sepenuhnya tepat namun berkesan seperti ketika Selangor berdepan gelombang kedua,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian dalam program bertajuk Covid-19 Fight: Red Zone Selangor disiarkan secara langsung di Facebook Wong Chun Wai malam ini.

Februari lalu, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud ketika sidang Dewan Undangan Negeri memaklumkan Kerajaan Negeri sukar mencegah penularan wabak susulan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia yang enggan berkongsi data.

Sebelum itu, pada November tahun lalu, Adham memberi alasan tidak dapat memenuhi permintaan segelintir pihak bagi mendapatkan akses kepada data mentah Covid-19 kerana mengelak risiko tafsiran data yang bertentangan atau tidak seragam hingga menyebabkan masyarakat panik serta bercelaru.


Pengarang :