Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (kiri) menyampaikan sumbangan ketika majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Sungai Tua di Kampung Selayang Baru, Batu Caves pada 21 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Tiada golongan tercicir meski negeri pesat membangun

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Selangor memastikan tiada golongan yang tercicir dari mendapat manfaat sewajarnya di sebalik kemajuan pesat negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu seiring slogan “Maju Bersama” yang mengambil berat kepentingan rakyat terutama dalam pendigitalan.

“Tidak sekadar menggagas idea besar Negeri Pintar, kita juga menyusun atur kelancaran pelaksanaannya dengan mengambil kira orang tua dan mereka yang tidak mahir atau celik komputer melalui inisiatif Rakan Digital Selangor.

“Harapannya, bukan setakat ibu ayah tetapi atuk dan nenek kita juga semua dapat bersama-sama dalam arus pendigitalan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata meskipun perayaan itu disambut dalam suasana berbeza tahun ini, namun aspek kekeluargaan dan mentaati ibu bapa tetap dikekalkan mengikut ajaran Konfusius.

Menurut Amirudin, elemen tersebut berserta unsur kebersamaan dan keterikatan komuniti menjadi asas untuk memastikan sambutan kali ini lebih bermakna.

“Mengambil iktibar ini, Selangor juga mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina secara maya, sebahagian dari pendigitalan yang dimulakan sejak 2016 tetapi diberi pecutan dan lonjakan berikutan cabaran pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor bakal menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina secara dalam talian melalui rangkaian media sosial pada 12 Februari.


Pengarang :