Kontena yang membawa kumpulan pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech dibawa keluar dari pesawat di Kompleks MASkargo Sepang pada 21 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Vaksin Covid-19 untuk rakyat Selangor diperoleh Mei, Jun

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Negeri menjangkakan dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang dibeli bakal diperoleh pada Mei atau Jun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata vaksin tersebut penting bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Insya-Allah bila sudah dapat, kita akan umumkan pengagihannya. Jumlah sebenar vaksin ini belum ditentukan tetapi ia melibatkan kuantiti besar dan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan program pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) di kilang Nestle, Seksyen 15 di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan khemah saringan Covid-19 ketika pelancaran program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dan ketua pegawai eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols.

Menurut Amirudin, status bekalan dan agihan vaksin Covid-19 di Selangor dibincangkan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini.

Jelasnya, perbincangan tersebut akan memfokuskan jumlah pengagihan vaksin di seluruh negeri berkenaan.

Sebelum ini, beliau memaklumkan Kerajaan Selangor akan membeli vaksin Covid-19 bagi mengawal penularan wabak selain mengurangkan beban kerajaan persekutuan.

Katanya langkah itu juga bagi memastikan bekalan vaksin mencukupi untuk penduduk Selangor sekali gus menjamin kesihatan rakyat.

 


Pengarang :