Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan ketika Ziarah Kasih Dato’ Menteri Besar sekitar DUN Sungai Tua di Pangsapuri Sri Astana, Batu Caves pada 21 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB ziarah keluarga mangsa Covid-19, hulur bantuan kewangan

BATU CAVES, 21 FEB: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa menziarahi dua keluarga mangsa Covid-19 yang meninggal dunia sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang diiringi isteri Datin Seri Masdiana Muhammad turut menyerahkan bantuan kewangan dan makanan kepada waris mangsa.

“Kita bersimpati dengan nasib mereka, semoga keluarga terus tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Takziah diucapkan dan kekal patuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

Bantuan sama turut diberikan kepada dua lagi penduduk sekitar DUN itu yang kehilangan ahli keluarga disebabkan barah.

Sementara itu, penerima bantuan Hamidah Anuar, 65, menghargai sumbangan dan kunjungan Dato’ Menteri Besar ke kediamannya di Pangsapuri Sri Astana di sini.

Beliau yang kehilangan suami dan anak perempuan akibat Covid-19 tidak mampu menahan sedih selepas pemergian mereka secara berturut-turut pada 18 dan 19 Februari lalu.

“Saya reda dengan ujian ini tetapi saya harap masyarakat tidak pandang sinis bekas pesakit Covid-19,” katanya yang juga pernah dijangkiti virus itu.

Seorang lagi waris, Raffiqee Buang, 28, turut menzahirkan terima kasih atas sumbangan tersebut susulan kematian bapanya yang juga pesakit Covid-19 pada 14 Februari lalu.


Pengarang :