Yang Dipertua MDHS Dr Mohd Azhar Mohamed Ali (kiri) menerima persijilan tiga bintang amalan persekitaran berkualiti (5S) daripada Ketua Pengarah MPC Dato’ Abdul Latif Abu Seman (kanan). Foto Facebook Korporat MDHS
PBTSELANGOR

MDHS raih tiga bintang amalan persekitaran berkualiti

SHAH ALAM, 5 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dianugerahkan persijilan amalan persekitaran berkualiti (5S) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Yang Dipertua Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata anugerah tiga bintang diraih susulan kemampuan pihak berkuasa tempatan itu melakukan penjimatan tahunan sebanyak RM129,874.50.

“Kekangan Covid-19 tidak menghalang MDHS mewujudkan persekitaran kerja kondusif, selamat, ceria dan kemas bagi melahirkan budaya kerja berkualiti.

“Syukur dan tahniah kepada semua warga MDHS di atas kerjasama yang diberikan sehingga berjaya mendapat pengiktirafan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penganugerahan tersebut berkuat kuasa selama setahun bermula 29 Disember tahun lalu.

Mohd Azhar berkata amalan 5S akan diteruskan dan penambahbaikan sentiasa dilakukan bagi memperoleh kejayaan sama pada masa akan datang.

“Pelaksanaan amalan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan, penjimatan kos dan memudahkan proses kerja tetapi memberi nilai tambah kepada imej MDHS secara keseluruhan,” katanya.


Pengarang :