MDHS menjalankan operasi bersepadu bersama JAS, Span, LUAS dan polis ke atas premis menjalankan aktiviti membuat dan mencetak kotak di kawasan Industrial MIEL, Batang Kali pada 17 Februari 2021. Foto Facebook MDHS
PBTSELANGOR

MDHS serbu tiga premis langgar syarat, keluar notis pelbagai kesalahan

SHAH ALAM, 24 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengeluarkan notis atas pelbagai kesalahan terhadap tiga premis menerusi operasi bersepadu di dua lokasi berasingan Rabu lalu.

Bahagian Korporatnya berkata tindakan pertama dikenakan ke atas premis membuat dan mencetak kotak di kawasan Industri MIEL, Batang Kali yang melepaskan sisa buangan berwarna ungu ke longkang seliaannya dan Sungai Batang Kali.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan notis dan mengambil sampel bahan buangan terjadual untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

MDHS menjalankan operasi bersepadu bersama JAS, Span, LUAS dan polis ke atas premis kitar semula di kawasan Industrial MIEL, Batang Kali pada 17 Februari 2021. Foto Facebook MDHS

Menurut MDHS, sebuah lagi premis di lokasi sama diberi notis tutup dua minggu kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik bagi menghasilkan damar atau palet tanpa kebenaran.

“Terdapat risiko pelepasan sisa buangan berikutan sistem kolam rawatan yang terlalu kompleks dan tidak digunakan lagi serta menyebabkan pelepasan ke Sungai Batang Kali,” katanya.

Tambahnya, Notis Kacau Ganggu Dihapuskan mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan kompaun kesalahan tambahan bangunan turut dikeluarkan terhadap premis memproses bahan besi di Sungai Choh, Serendah.

MDHS menjalankan operasi bersepadu bersama JAS, Span, LUAS dan polis ke atas premis memproses bahan besi di Sungai Choh, Serendah pada 17 Februari 2021. Foto Facebook MDHS

MDHS menjelaskan JAS turut mengeluarkan 10 kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk pengurusan sisa bahan berjadual tidak sempurna.

“Premis melakukan kesalahan melepaskan sisa buangan berwarna putih ke alur air yang mengalir ke Sungai Selangor dan mempunyai tambahan bangunan di ruang anjakan tanpa kebenaran.

“Penstoran bahan buangan terjadual juga tidak sempurna, tiada label dan tempat khas bagi ruang simpanan bahan terjadual,” katanya.


Pengarang :