Anggota penguat kuasa MBSA melakukan pemeriksaan pematuhan SOP ke atas peniaga sekitar Shah Alam. Foto MBSA
AGENDA EKONOMI NASIONAL

MEF sambut baik cadangan buka sektor niaga dengan SOP ketat

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Cadangan pembukaan semula semua sektor perniagaan dengan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 18 Februari depan, adalah langkah positif untuk masa depan.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu akan melindungi orang ramai daripada penularan Covid-19, melindungi punca pendapatan rakyat dan meningkatkan kelestarian perniagaan, terutamanya perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Keputusan seumpama itu membuka laluan ke arah pemulihan ekonomi lebih cepat. Ia juga memberikan lebih kelegaan kepada PKS dan perusahaan mikro yang tidak boleh beroperasi sepenuhnya sejak Mac tahun lepas seperti peruncit dan pendandan rambut.

“Mereka akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memulakan semula operasi dan meneruskannya tanpa gangguan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata majikan perlu mengambil langkah lebih serius dalam mematuhi SOP untuk membantu menghentikan penularan Covid-19 terutamanya di tempat kerja dan menggunakan kelengkapan perlindungan diri sekiranya perlu.

“Hanya dengan bekerjasama – kerajaan, majikan dan pekerja akan berupaya menangani pandemik ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :