Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

MFL: Lima aksi Liga Premier 2021 dipinda tarikh

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Lima aksi Liga Premier musim 2021 dipinda susulan permohonan pertukaran venue pasukan Sarawak United FC dan Kuching City FC diluluskan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Menurut kenyataan MFL, Sarawak United FC yang sebelum ini mendaftarkan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai venue tuan rumah memohon bermain di Stadium Hang Jebat, Melaka dan dipersetujui Melaka United FC serta Perbadanan Stadium Melaka.

Ini menyaksikan aksi Sarawak United FC menentang Kelantan United FC yang dijadualkan pada 6 Mac dipinda ke 7 Mac 2021 di Stadium Hang Jebat dan perlawanan menentang Terengganu FC II pada 20 Mac dipinda ke 21 Mac.

Aksi Perak FC II melawan Sarawak United FC pula dipinda dari 9 Mac kepada 10 Mac sebagai memberi tempoh rehat sewajarnya kepada Sarawak United FC selepas perlawanan menentang Kelantan United FC.

Sementara itu, penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) lebih ketat di Sarawak susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri tersebut memaksa Kuching City FC memohon dua aksi pertama dilangsungkan di venue lawan selaku pasukan pelawat.

Kuching City FC turut memohon supaya Stadium Likas, Kota Kinabalu menjadi venue tuan rumah pasukan bagi baki perlawanan seterusnya.

Pertukaran venue Kuching City FC menyaksikan perlawanan menentang Terengganu FC II yang sepatutnya pada 9 Mac di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dipinda ke 10 Mac.

Selain itu, Kuching City FC akan bertandang ke Stadium Hang Jebat bagi aksi berdepan Sarawak United FC pada 16 Mac manakala pertemuan menentang Selangor FC 2 yan dijadualkan pada 17 April dipinda ke 18 April di Stadium Likas.

– BERNAMA

 


Pengarang :