Atlet menembak Selangor menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang pada 16 Jun 2020. Foto ASRI SAPIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

MSN Selangor harap atlet boleh lakukan latihan berkumpulan selepas PKP

SHAH ALAM, 28 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) berharap atlet dibenar menjalankan latihan sukan sentuhan atau berkumpulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 4 Mac.

Pengarah eksekutifnya berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar mempertimbangkan perkara itu kerana hampir dua bulan atlet menjalani latihan bersendirian.

“Sudah tentu kita harap ada perubahan selepas PKP tamat sebab ketika ini latihan lebih tertumpu kepada mengekalkan kecergasan atau stamina.

“Tempoh lama tanpa latihan khusus boleh menjejaskan atlet dalam semua aspek, memang mereka berlatih sendiri tetapi ia jauh berbeza kalau dilakukan secara berkumpulan,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Pada 9 Februari MKN membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) memulakan latihan namun pemain perlu mematuhi kuarantin di kem atau kediaman ditetapkan pasukan.

Dua hari kemudian MKN membenarkan sukan seperti tenis, badminton dan ping pong melibatkan acara perseorangan manakala latihan kemahiran atlet bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw dibenar tanpa melibatkan sentuhan fizikal.


Pengarang :