Skuad ragbi wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun hadapan ketika ditemui di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

MSN Selangor harap sektor sukan diberi kelonggaran ketika PKP

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap sektor sukan dan rekreasi diberi kelonggaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah eksekutifnya berkata kebenaran menganjurkan aktiviti sukan dan rekreasi memberi kelegaan kepada pelbagai pihak sekaligus merancak semula industri sukan negara.

“Kita menyokong usaha kerajaan untuk memutuskan perebakan Covid-19 namun dalam masa sama kita perlu mengekalkan masyarakat Malaysia yang aktif dan cergas.

“Jadi kita berharap industri sukan tanah air diberi pembelaan sewajarnya untuk mendepani pendemik yang belum tahu penghujung,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Beliau yakin penggiat sukan komited untuk menjaga dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kita berharap industri sukan diaktifkan semula dan seimbangkan dengan langkah keselamatan yang digariskan kerajaan demi kepentingan bersama,” katanya.

Pada Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melonggarkan sekatan aktiviti sukan dan rekreasi.

Beliau berkata pihaknya dan MKN sedang meneliti dan memperinci beberapa perkara berkaitan SOP serta pendekatan yang terbaik untuk pertimbangan dan keputusan muktamad dalam masa terdekat termasuk cadangan serta SOP melibatkan aktiviti sukan ‘outdoor’ dan gimnasium.


Pengarang :