Salah seorang atlet memanah menjalani latihan untuk persediaan Sukma Johor 2020. Foto: Skuad Mamanah Selangor
AGENSISELANGOR

MSN Selangor terima laporan prestasi atlet SUKMA, kekal berdisiplin

SHAH ALAM, 16 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerima laporan prestasi atlet Sukan Malaysia (SUKMA) yang menjalani latihan persendirian daripada jurulatih setiap bulan.

Pengarah eksekutifnya berkata kesemua mereka kekal berdisiplin melakukan latihan di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui pemantauan dalam talian.

“Kita akui latihan dijalankan atlet ketika ini tidak teratur yang menyebabkan kesukaran mengukur tahap kecergasan namun saya yakin mereka tahu tanggungjawab masing-masing.

“Misalnya bekas pemegang pingat sudah tentu enggan mensia-siakan peluang jadi mereka tahu apa harus dilakukan untuk kekal cergas,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, beliau menasihati atlet supaya meneruskan latihan secara konsisten meskipun syarat kelayakan umur menyertai temasya tersebut masih menjadi tanda tanya.

“Walau apa sahaja keputusan, kita kena terima cuma diharap mereka boleh jaga diri dengan baik supaya tidak dijangkiti Covid-19 yang berkemungkinan akan menjejaskan prestasi,” katanya.

SUKMA 2020 yang dijadual pada Julai dan Ogos tahun lalu ditunda ekoran ketidaktentuan dalam penularan pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Johor diberi tawaran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah bersedia hampir 99 peratus daripada aspek perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.


Pengarang :