Skuad Penerangan Komuniti (SPEAK) Pemadam Selangor mengedarkan aktiviti dan risalah pertubuhan itu sempena kempen Bulan Antidadah di seluruh pejabat Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 25 Februari 2021. Foto Facebook Pemadam Negeri Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

NGO digesa lebih kreatif laksana program cegah dadah

SHAH ALAM, 27 FEB: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah disaran lebih kreatif dengan mempelbagaikan program pencegahan dan pemulihan.

Dato’ Menteri Besar berkata NGO juga perlu merangka modul baharu serta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk melaksanakan program bagi mendidik remaja, terutama pelajar sekolah supaya menjauhi najis berkaitan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dengan membantu kepimpinan setempat merancang, menggerak dan memperkasa aktiviti kemasyarakatan.

“Kita semua mesti bersama-sama memperkukuhkan tekad dan azam kerana ini merupakan usaha untuk meningkatkan martabat agama serta bangsa sekali gus merealisasikan Selangor Sejahtera Tanpa Dadah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Bulan Anti Dadah Peringkat Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis lalu.

Teks ucapan dibacakan Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) Selangor Daing Muhammad Reduan Bachok.

Beliau berkata komitmen Kerajaan Negeri mencegah penyalahgunaan dadah dizahirkan menerusi penubuhan Skuad Penerangan Komuniti (SPEAK).

“Saya berharap Pemadam dan SPEAK Negeri Selangor akan terus menjadi organisasi yang mampu memberi contoh dan terus melakukan usaha ini,” katanya.


Pengarang :