Pantulan imej Pengumuman Khas Darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan pada kacamata seorang penjawat awam yang mengikuti pengumuman tersebut menggunakan telefon bimbit ketika tinjauan pada 12 Januari 2021. Kerajaan awam terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat bagi membendung Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN pertikai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat belum diaktif

SHAH ALAM, 5 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) mempertikaikan tindakan kerajaan yang gagal memberi maklum balas berhubung pengaktifan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diumum pada 12 Januari lalu.

Majlis Setiausaha berkata senarai nama dari pihak pembangkang untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan sudahpun dikemukakan kepada kerajaan pada 21 Januari lalu.

“Namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.

“Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

PAKATAN juga berpendirian segala kuasa yang diperlukan bagi menangani pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi sudah terkandung dalam undang-undang sedia ada.

Kenyataan bersama itu dibuat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Hatta Ramli (AMANAH) dan Loke Siew Fook (DAP).

Pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat adalah adil dan telus.

Jelasnya, jawatankuasa itu juga berperanan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia akan dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan yang berkait.


Pengarang :