C Pravin, 23, (kanan) mematuhi SOP dengan memakai apron, sarung tangan dan pelindung muka ketika menggunting rambut pelanggannya di Kampung Batu Hampar pada 6 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pasar malam, kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibenar operasi mulai esok

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenar beroperasi semula dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat mulai esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut.

“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata pasar malam dibenar beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam dengan memastikan jarak satu meter antara setiap gerai, laluan keluar masuk yang berbeza, dan ada pengawasan oleh RELA untuk memantau pergerakan pengunjung.

Bagi kedai gunting rambut dan salon, beliau berkata ia dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam namun hanya perkhidmatan gunting rambut dibenarkan.

Ismail Sabri turut memberi bayangan lebih banyak aktiviti termasuk sukan dan rekreasi seperti gim dan kejohanan sukan berimpak tinggi, selain sektor peruncitan akan diberi kelonggaran namun ia tertakluk kepada penilaian risiko dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini, katanya selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masing-masing mengemukakan cadangan kepada mesyuarat khas hari ini.

“Kami teliti setiap perkara dibentangkan sama ada KPDNHEP dan KBS. Kami akan kaji dan setiap kajian kami pastinya akan dapat pandangan daripada KKM dan mereka akan buat penilaian risiko dan berdasarkan kluster baharu yang wujud daripada setiap aktiviti yang dicadangkan.

“Sekiranya KKM berpandangan risiko tidak tinggi dan daripada data tidak tunjukkan kluster-kluster baharu dihasilkan maka ada kemungkinan kami akan luluskan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :