Skrin memaparkan maklumat berkenaan Vaksin Covid-19 ketika sidang media perkembangan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Kementerian Kesihatan pada 27 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pastikan pusat imunisasi Covid-19 seluruh negara cukup

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan persekutuan digesa memastikan pusat imunisasi Covid-19 di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak mencukupi.

Jawatankuasa Imunisasi Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan program kepada 80 peratus rakyat dewasa di negara ini yang meliputi 66.7 juta dos bukan perkara mudah.

“Kejayaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan penting untuk memulihkan ekonomi, mengurangkan jangkitan Covid-19 dan memulihkan kehidupan rakyat,” kata kenyataan pada 16 Februari.

Jawatankuasa itu juga menyeru Putrajaya supaya menyediakan kaedah penerangan yang mampu menerangkan rancangan imunisasi kepada rakyat dan pekerja asing.

“Pihak bertanggungjawab perlu menerangkan rancangan imunisasi secara agresif menerusi pelbagai platform dan bahasa kepada warganegara serta bukan warganegara,” kata kenyataan.

Kenyataan itu juga menegaskan PAKATAN menganggap program itu melangkaui perbezaan politik, malah menyifatkan perkara tersebut sebagai misi kebangsaan yang “pantang gagal”.

Jawatankuasa Imunisasi Pakatan terdiri daripada bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Anggota lain ialah empat ahli parlimen iaitu Dr Ong Kian Ming (Bangi), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching) Dr Mohd Hatta Ramli (Bandar Kuching) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).

Turut terlibat tiga EXCO Kesihatan negeri iaitu Dr Siti Mariah Mahmud (Selangor), Dr Norlela Ariffin (Pulau Pinang) dan S Veerapan (Negeri Sembilan).


Pengarang :