Selangor FC serta Selangor FC 2 berjaya mendapatkan kelulusan pada 14 Februari dan memulakan sesi latihan di Padang Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 15 Februari 2021. Foto: Facebook MFL
AGENDASUKANKINI

Pasukan Liga-M manfaatkan kelonggaran MKN jalani latihan

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) memanfaatkan sepenuhnya kelonggaran mengadakan latihan yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bermula hari ini dengan memulakan latihan sebagai persiapan menghadapi musim 2021 menjelang sepak mula pada 5 Mac ini.

Selepas persediaan pasukan terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 Januari lalu, kebenaran diberikan untuk menjalani latihan menerusi konsep gelembung sukan, iaitu semua pemain dan pegawai perlu melakukan ujian calitan serta memasuki gelembung selepas didapati bebas daripada wabak Covid-19 hingga tamat liga.

Selepas memasuki gelembung itu, mereka perlu mematuhi kuarantin di kem atau kediaman yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan masing-masing, yang mana mereka tidak dibenarkan keluar atau bergaul dengan individu dari luar gelembung itu.

Skuad Liga Super Selangor FC, Pahang dan Petaling Jaya (PJ) City FC merupakan antara pasukan yang memulakan latihan pada hari ini setelah keputusan ujian calitan semua yang terlibat dalam pasukan itu didapati negatif.

Pengurus Selangor FC Mahfizul Rusydin berkata pasukan berkenaan memilih menggunakan kaedah kuarantin di rumah untuk semua pemain dan pegawai yang terlibat, serta mereka dikehendaki menjalani saringan Covid-19 seminggu sekali bagi memastikan keselamatan dan kesihatan terjaga.

“Mereka bertanggungjawab menjaga gelembung masing-masing, di mana mereka tidak dibenarkan menerima pelawat atau keluar rumah tanpa sebab. Bagi yang mempunyai pasangan yang bekerja, pasangan mereka hanya boleh keluar rumah untuk bekerja dan kemudian balik ke rumah, segala pembelian barangan keperluan digalakkan dilakukan secara dalam talian.

“Pihak Selangor FC sedang mengatur beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan pasukan menghadapi Liga Super 2021, setakat hari ini satu perlawanan telah disahkan dan akan diadakan secara tertutup pada hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sri Pahang FC pula bakal menempatkan skuad di kem latihan kuarantin di Temerloh bermula esok, sebelum menghadapi perlawan persahabatan dengan pasukan Kelantan United dan Negeri Sembilan FC pada minggu depan, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohammed Suffian Awang.

“Pemain dan pegawai telah menjalani ujian saringan Covid-19, ini sudah menjadi amalan kita supaya tidak menjejaskan Liga-M kelak. SOP yang ketat akan dipatuhi, kita cuma bantu kerajaan dalam mengekang penularan pandemik ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua jurulatih PJ City FC P. Maniam berkata pasukan tersebut telah memulakan latihan pagi ini dengan fokus kepada latihan ringan dan fizikal bagi mengelakkan kecederaan.

Beliau berkata kebanyakan pemain didapati teruja untuk kembali memulakan latihan yang dinanti-nantikan selepas terjejas oleh PKP, selain pasukan juga merancang mengadakan tiga aksi persahabatan dengan Selangor 2, PDRM FC dan sebuah lagi pasukan.

“Semua pemain telah selesai menjalani ujian, manakala pengurusan juga telah meminta semua ahli keluarga yang tinggal bersama dalam home-based quarantine ini untuk melakukan ujian bagi mengelakkan risiko jangkitan,” katanya.

Di Ipoh, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Mohammad Yadzan Mohamad tidak menolak kemungkinan menjalankan latihan secara kuarantin di kem untuk skuad Perak FC.

“Ini dapat mengurangkan risiko penularan dan kita juga kena ingat bahawa liga dah nak mula, masa pun makin suntuk untuk kita siap sedia. Jadi, saya fikir dengan pendekatan ini, para pemain akan lebih fokus terhadap latihan tanpa sebarang gangguan dari luar,” katanya, menambah mereka mungkin mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perak FC II.

UiTM FC, bersama-sama Melaka dan Negeri Sembilan FC yang telahpun selesai menjalani saringan Covid-19, dijangka memulakan latihan dalam masa terdekat selepas mendapat lampu hijau daripada MFL.

Naib juara Liga Super 2020 Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC dan Kelantan United (KUFC) yang baru sahaja menjalani ujian calitan pada hari ini, berkeyakinan dapat memulakan latihan sejurus keputusan dan kelulusan MFL diperoleh.

– BERNAMA


Pengarang :