Dr Nungsari Ahmad Radhi membincangkan perancangan ekonomi selepas wabak Covid-19 pada forum Ekonomi Pasca Pandemik: Ke Mana Hala Tuju ? yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook Amirudin Shari dan Media Selangor pada 23 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMI

Pelaburan baharu atasi isu pengangguran – Dr Nungsari

SHAH ALAM, 23 FEB: Sektor ekonomi dijangka pulih namun tidak mampu menampung bilangan penganggur yang sudah melebihi angka sejuta, kata pakar ekonomi.

Justeru, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata pelaburan baharu yang membuka peluang ekonomi lebih besar perlu difikirkan bagi mengatasi isu pengangguran.

“Pemulihan ekonomi ini dapat mengembalikan penggunaan sumber manusia. Kita perlu menjana pertumbuhan baharu kerana isu pengangguran bergantung kepada aspek itu.

“Ekonomi baharu berkenaan perlu berteraskan senario pasca Covid-19 selain negara boleh membuat pelaburan yang memberi jaminan pulangan besar,” katanya.

Nungsari berkata demikian ketika menjadi panel forum bertajuk Ekonomi pascapandemik: Ke mana hala tuju? secara dalam talian di Facebook Amirudin Shari dan Media Selangor serta YouTube SelangorTV hari ini.

Perbincangan turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan tokoh ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram manakala Tan Sri Johan Jaafar yang juga ahli Lembaga Pengarah Media Selangor sebagai pemudah cara.

Jelas Nungsari, pasaran setempat juga dijangka pulih lebih awal berbanding pelaburan antarabangsa yang bergantung pada permintaan luar sekali gus tidak boleh dikawal.

“Firma yang berniaga untuk memenuhi kehendak masyarakat setempat akan kembali pulih dengan kadar lebih cepat,” katanya.

 


Pengarang :