Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Osem, Dato’ Abdul Radzeen (tengah) menyerahkan cek cura kepada wakil penerima dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Melayu Subang pada majlis Pelancaran Pakej Osem di Pusat Khidmat Rakyat Seksyen 8, Kota Damansara pada 11 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pelajar B40 Sungai Buloh terima tajaan ulang kaji percuma dalam talian

KOTA DAMANSARA, 11 FEB: Pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di Parlimen Sungai Buloh menerima tajaan penggunaan aplikasi ulang kaji Osem selama 12 bulan.

Wakil rakyatnya R Sivarasa berkata pihaknya menyasarkan seramai 5,000 calon peperiksaan dari seluruh sekolah kawasan terbabit menerima manfaat aplikasi percuma itu tidak lama lagi.

“Setakat ini seramai 1,422 pelajar daripada enam sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah telah terima manfaat tersebut.

“Kita sambut baik tajaan dari pihak Osem kerana sudi membantu pelajar yang kurang berkemampuan. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu calon ini menghadapi peperiksaan tidak lama lagi,” katanya pada majlis Pelancaran Aplikasi Osem di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh hari ini.

Sivarasa berkata bantuan itu tepat pada masanya memandangkan sekolah masih ditutup sekali gus dapat membantu mereka belajar secara dalam talian.

Tajaan aplikasi Osem di kawasan itu dikhususkan kepada pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aplikasi berkenaan turut menawarkan kira-kira 2,000 soalan setiap minggu yang disediakan oleh lebih 17,000 guru seluruh Malaysia.


Pengarang :