EXCOSELANGOR

Pelaksanaan skim jaminan air jangka pendek elak henti tugas loji

SHAH ALAM, 16 FEB: Kawalan dan pantauan 24 jam serta penggunaan sistem nanoteknologi Aquaritin di kawasan sumber air berjaya mengelakkan pencemaran yang berisiko menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

EXCO infrastruktur berkata langkah terkandung dalam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) itu ternyata berkesan selepas sembilan pencemaran air dapat ditangani sejak Januari 2021 hingga Ahad lalu.

“Menerusi SJAM, empat tindakan diambil iaitu rawatan awal di kolam takungan, pantauan dan pengawasan, pembinaan infrastruktur di empangan Sungai Selangor serta penguatkuasaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020.

“Sekarang kita dalam proses melaksanakan semua langkah. Apabila siap sepenuhnya kita yakin ia mampu penyelesaikan keseluruhan isu gangguan bekalan air,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini hari ini.

Ahad lalu, EXCO Alam Sekitar, Hee Loy Sian memaklumkan LUAS berjaya menangani sembilan pencemaran yang berisiko menyebabkan gangguan bekalan air sejak Januari lalu.

Pencemaran pertama dikesan pada 15 Januari membabitkan buangan sisa kimia ke pembentung di Sungai Cinchang dan terakhir pada 11 Februari berkaitan peleburan logam berhampiran Sungai Semenyih.

Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan inisiatif pelaksanaan SJAM sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi pencemaran sumber air sekali gus memastikan rakyat menikmati bekalan air berterusan.


Pengarang :