EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian meninjau tapak Projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Loji Rawatan Air (LRA) Ampang pada 23 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemaju EKVE diberi tempoh dua bulan selesai tambah baik tebing Sungai Ampang

AMPANG, 23 FEB: Pemaju projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikan kerja penambahbaikan tebing dan cerun berhampiran Sungai Ampang bagi mengelak pencemaran.

EXCO alam sekitar berkata masih terdapat pencemaran dikesan di bahagian sungai berhampiran ‘intake’ Loji Rawatan Air (LRA) Ampang yang membekalkan 19 juta liter air sehari kepada penduduk sekitar.

“Nilai bacaan kekeruhan (NTU) air setakat ini adalah 200 iaitu pada tahap yang boleh diterima. Sekiranya mencecah 1,000 (NTU), maka LRA berpotensi untuk dihenti tugas.

“Justeru, kita beri masa untuk mereka baik pulih cerun menggunakan geotekstil dan longkang yang mengalirkan kelodak ke sungai berkenaan,” kata Hee Loy Sian selepas melawat tapak projek EKVE di LRA Ampang hari ini.

Beliau menegaskan pihaknya tidak teragak-agak menggunakan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 (Pindaan 2020) jika berlaku henti tugas LRA berpunca daripada pencemaran itu.

Difahamkan, projek yang bermula pada 2015 masih dalam arahan berhenti kerja sejak 13 Oktober tahun lalu dan pemaju tidak dibenarkan melakukan kerja tanah serta pembinaan sehingga ke suatu tarikh penarikan semula.

Pemaju hanya dibenarkan melakukan kerja penstabilan dan penutupan cerun terdedah selain menyelenggara sebahagian cerun sungai yang runtuh ekoran tekanan air dari dalam tanah.

Sementara itu, Loy Sian berkata pemaju terbabit pernah dikenakan tindakan kompaun mahkamah berjumlah RM100,000 pada 2017 dan RM165,000 pada 2019 kerana projek itu didapati mencemarkan Sungai Ampang.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut mengeluarkan saman RM500,000 terhadap pihak berkaitan Oktober tahun lalu berikutan melanggar undang-undang pembersihan tanah yang tidak dilakukan dengan cermat.

Sebelum ini, media melaporkan kerja pembinaan projek EKVE dikenal pasti sebagai punca air keruh mengalir dari Sungai Ampang di Hutan Lipur Ampang ke Sungai Klang disebabkan pembukaan tanah tidak terkawal.


Pengarang :