Air sungai keruh dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) ketika tinjauan Bernama di Hutan Lipur Ampang hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemaju lebuh raya cemar Sungai Klang diarah henti kerja, dikompaun RM500,000

SHAH ALAM, 19 FEB: Pemaju projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) telah diarah menghentikan kerja pembinaan sejak Oktober tahun lalu, kata EXCO alam sekitar dan teknologi hijau.

Hee Loy Sian berkata pemaju itu juga dikenakan kompuan RM500,000 oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana projek berkenaan didapati mencemarkan Sungai Ampang dan Sungai Klang.

“Isu ini sudah dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan pihak Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) memaklumkan pemaju diberi notis henti kerja untuk langkah pemulihan.

“JAS dan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) akan menyiasat secara menyeluruh kes projek itu yang menjadi punca pencemaran,” kata Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas tindakan Kerajaan Negeri selepas ini, beliau berkata pemaju yang melaksanakan projek di Selangor akan dikenakan syarat lebih ketat bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Semalam, media melaporkan kerja pembinaan projek EKVE dikenal pasti menjadi punca air keruh di Sungai Klang sekitar Kuala Lumpur termasuk projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL).


Pengarang :