Pelajar Tingkatan Lima Tahun 2020 Athirah Akmal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan mengimbas suhu badan sebelum masuk ke kelas ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa pada 24 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pembangkang cadang pelajar sekolah tidak perlu pakaian seragam tahun ini

SHAH ALAM, 21 FEB: Beberapa ahli parlimen pembangkang mencadangkan isu pakaian rasmi sekolah tahun ini diberi kelonggaran susulan pembukaan semula institusi itu mulai 1 Mac.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan ramai ibu bapa terbeban dengan pandemik Covid-19 dan berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak.

“Kelonggaran berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya tahun ini memandangkan ada kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana semula,” tegas wakil rakyat pembangkang.

Ahli parlimen berkenaan ialah Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Dr Hasan Baharom (Tampin), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).

Cadangan itu antara lima perkara yang dikemukakan susulan pembukaan semula sesi persekolahan. Cadangan lain meliputi:

1. Meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhenti membuat keputusan secara tidak terancang dan bersikap reaktif tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat

2. Merujuk cadangan dikemukakan oleh Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan 20 Februari berkaitan isu sama

3. Pengukuhan sistem pembelajaran berasaskan teknologi sama ada dalam atau luar bilik darjah seperti penggunaan portal sophia.my, pelaksanaan meluas program pengagihan peranti dan penambahbaikan akses internet di sekolah termasuk meneruskan pakej internet untuk pelajar di rumah

4. Guru dan kakitangan sekolah wajib diberi keutamaan dalam menerima vaksin seperti petugas barisan hadapan yang lain

Pada Jumaat, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan bagi murid prasekolah, tahun satu dan dua di seluruh negara bermula pada 1 Mac.

Sementara persekolahan murid tahun tiga hingga enam pada 8 Mac.

 


Pengarang :