Keadaan semasa struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika tinjauan pada 21 September 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pembinaan Lebuhraya SUKE capai 87 peratus akhir tahun lalu

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mencatatkan kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 87 peratus pada akhir 2020, disokong oleh penyiapan sepenuhnya pakej CB3.

Timbalan Pengurus Besar SUKE, Dr Zarulazam Eusofe berkata pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang merupakan pakej pertama yang siap 100 peratus daripada lapan pakej pembinaan bagi projek Lebuhraya SUKE.

“Pembinaan pakej CB3 sepanjang 2.7km melibatkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang dan berakhir di Jalan Merbau, berhampiran LRT Ampang mengambil masa selama empat tahun dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zarulazam menjelaskan jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Dato’ Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang sebaik sahaja Lebuhraya SUKE dibuka untuk para pengguna.

“Pengguna yang menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur cuma perlu menggunakan persimpangan Kosas atau persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya SUKE menyediakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan trafik di Jalan Ampang,” ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata Jalan Ampang yang sebelum ini hanya mempunyai dua lorong kini dilebarkan kepada tiga lorong setiap hala.

Pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km bermula pada 29 Ogos 2016 dan apabila siap sepenuhnya, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.

Lebuhraya SUKE ini yang bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang MRR2 menghubungkan secara terus beberapa lebuhraya utama dalam bandar seperti DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya BESRAYA dan Lebuhraya KESAS.

– BERNAMA


Pengarang :