Kebakaran hutan yang berlaku antara The Peak dan Cheras Perdana pada petang 22 Februari 2021. Foto Facebook Wong Siew Ki
ADNSELANGOR

Pemilik kebun disaran amal kaedah tanam sampah, elak hutan terbakar

SHAH ALAM, 24 FEB: Pemilik kebun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong disaran mengamalkan kaedah menanam sampah tanpa melakukan pembakaran terbuka.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata kebiasaan membakar sampah perlu dihentikan bagi mengelak risiko kebakaran hutan termasuk perumahan penduduk berhampiran.

“Pengurusan sampah yang paling teruk adalah membuangnya secara haram dan bakar secara terbuka. Isu ini kerap berlaku merata-rata tempat di Balakong.

“Jika berlaku kebakaran, ia boleh beri kesan negatif terhadap alam sekitar selain penduduk perlu menanggung kerugian harta benda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menasihati penduduk mengasingkan sisa berkaitan ke dalam lubang khas bagi membolehkan proses penguraian selain menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk mengutip sampah pukal yang dikumpul di rumah.

Terdahulu, Siew Ki mengulas insiden kebakaran hutan berlaku antara The Peak dan Cheras Perdana pada jam 7 petang kelmarin yang disyaki berpunca daripada pembakaran sampah atau kebun secara terbuka.

Seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang serta Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.


Pengarang :