Foto menunjukkan suhu sesuai bagi menempatkan vaksin Covid-19 dalam kotak ais khas Pfizer di makmal syarikat Desmon SPA di Nusco wilayah Campania, Itali pada 27 November 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech perlu rantaian sejuk beku rapi

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Tempat penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech mRNA bagi Covid-19 memerlukan suhu yang sejuk melampau pada takat -70 darjah Celsius (°C) bagi mengekalkan penghantaran rantaian sejuk beku, untuk mengekalkan potensi keberkesanan vaksin itu apabila digunakan.

Sebagai perbandingan, tempat paling sejuk di dunia adalah di kutub selatan di Antartika, dengan suhu semasa sekitar -38°C, manakala suhu biasa bagi peti sejuk yang biasa di kebanyakan rumah adalah -18°C.

Aspek inilah yang mewujudkan cabaran logistik dan pengagihan vaksin berkenaan di negara tropika seperti Malaysia, dan bagi tujuan menanganinya, kerajaan membeli 55 peti sejuk dengan suhu ‘ultra-rendah’ bagi menyimpan bebuli vaksin yang berharga RM16.6 juta, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021. Foto: BERNAMA

Pakar Metrologi di Institut Metrologi Kebangsaan (NMIM), SIRIM Berhad, Nurulaini Md Ali berkata suhu perlu dipantau sepanjang masa sehingga vaksin sampai kepada penerima kerana bahan genetik itu teramat sensitif kepada perubahan dan perlu disimpan dalam julat suhu tepat, yakni tahap sejuk beku yang melampau.

“Rantaian sejuk beku bermula dari proses pembuatan, sehingga penghantaran ke negara-negara terlibat, ke pusat-pusat penyimpanan, sehinggalah kepada pesakit atau individu yang memerlukan. Sepanjang rantaian proses itu, perlu dipastikan bahawa tiada sebarang kegagalan (dalam mengekalkan suhu),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam artikelnya yang bertajuk ‘Memenuhi Keperluan Suhu Penyimpanan Vaksin Covid-19: Cabaran Rantaian Sejuk Beku’ yang dimuatkan dalam seksyen Bernama Tinta Minda pada portal berita Bernama.

Menurutnya bagi tujuan penyimpanan jangka masa panjang, vaksin Covid-19-Pfizer perlu disimpan dalam peti sejuk beku pada suhu sekitar -80⁰C sehingga -70⁰C manakala suhu sekitar 2⁰C ke 8⁰C pula adalah suhu simpanan persediaan untuk diberikan kepada individu, dan di peringkat ini vaksin berkenaan hanya boleh bertahan selama lima hari.

Sementara itu rakan farmaseutikal Pfizer and BioNTech berkata syarikat berkenaan telah menjalankan kajian baharu yang menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 boleh kekal aktif apabila disimpan di tempat simpanan sejuk beku biasa sehingga tempoh dua minggu.

Trak DHL Express yang membawa vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV) pada 21 Februari 2021. Foto: BERNAMA

Dalam kenyataan yang dimuatkan di laman web Pfizer, syarikat itu berkata data baharu itu telah dihantar kepada US Food and Drug Administration, yang menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 yang dihasilkan mereka adalah stabil apabila disimpan pada suhu -25°C hingga -15°C, yakni suhu yang biasa bagi peti sejuk dan sejuk beku farmaseutikal.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata Malaysia tidak berhadapan dengan kesukaran dalam menyimpan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 yang tiba hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk mengagihkan vaksin, dan bahagian perkhidmatan farmaseutikal kementerian akan menguruskan aspek logistik di samping memastikan vaksin itu disimpan dengan teratur.

“Bahagian pemerolehan Kementerian Kesihatan juga telah menerima bekalan 55 tempat simpanan sejuk beku bagi menyimpan vaksin itu, dan mereka meletakkannya di pusat penyimpanan vaksin yang telah dikenal pasti,” katanya, Khamis lepas.

“Persiapan rapi telah dijalankan, termasuk latihan berhubung penghantaran vaksin ke tempat penyimpanan di negeri-negeri di seluruh negara, ia berjalan dengan lancar, malah latihan juga diberikan kepada pekerja kesihatan yang akan melaksanakan pemberian vaksin berkenaan,” katanya.

Malaysia menerima 312,390 dos Pfizer-BioNTech Covid-19 hari ini, penghantaran pertama ke Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 26 Feb.

Fasa pertama program itu bermula dari bulan Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti dengan fasa kedua dari bulan April hingga Ogos melibatkan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas berumur 60 tahun keatas serta kumpulan rentan dan juga Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga dari bulan Mei hingga Februari tahun depan melibatkan kumpulan dewasa berumur 18 tahun keatas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan vaksin pada hari pertama pelaksanaan program, bersama beberapa petugas barisan hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :