Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengurusan kediaman tiada kuasa kompaun penghuni ingkar SOP

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Pengurusan kondominium atau kawasan perumahan tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun kepada penghuni yang ingkar tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.

Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak berumur satu tahun yang disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam lif.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kuasa mengeluarkan kompaun itu adalah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Setakat ini kita tidak memberikan kuasa kepada pengurusan kondominium dan pangsapuri atau mana-mana pejabat untuk mengambil tindakan. Kuasa pada peringkat pengurusan perumahan hanya berkaitan dengan peraturan di dalam kawasan tersebut seperti menjaga harta.

“Jadi apa dilakukan oleh pihak pengurusan di kondominium Ampang ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan. Jadi saya harap mereka menarik balik kompaun RM100 yang diberikan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi tempoh PKP 2.0 ini supaya pemandu dan penumpang dalam satu kenderaan perlu tinggal dalam kediaman yang sama.

Sebaliknya, beliau berkata pemandu dan penumpang boleh datang daripada kediaman yang berbeza mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan yang ditetapkan, dan ia merangkumi semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan belum mempunyai ketetapan berhubung pengeluaran pasport vaksin terhadap individu yang bakal menerima suntikan vaksinasi terbabit.

Beliau berkata setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan untuk membuka sempadan negara susulan pengenalan pasport vaksin itu nanti yang memungkinkan orang ramai kembali melakukan perjalanan ke luar negara.

“Belum ada tarikh lagi untuk itu, kerajaan masih sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pasport vaksin terbabit.

“Hal ini kerana kerajaan tidak mengetahui vaksin apa yang diterima di negara luar untuk membolehkan kemasukan rakyat negara ini ke negara mereka. Jadi perkara ini masih terlalu awal diperkatakan,” katanya.

Beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM kemudian.

Dalam perkembangan lain beliau berkata polis menahan 460 individu kerana mengingkari PKP semalam.

“Sejumlah 388 daripada mereka dikompaun sementara 70 direman dan dua individu dijamin semalam.

“Mengenai Op Benteng pula, seramai 23 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan sementara 11 buah kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :