Pengunjung Restoran Nasi Lemak Pokok Sena di Stadium Darul Aman, Kedah ceria menikmati masakan panas selepas kerajaan membenarkan makan di restoran, terhad dua orang satu meja ketika tinjauan pada 10 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peniaga, pelanggan gembira dapat kelonggaran namun tetap ikut SOP

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Selepas hampir sebulan banyak kedai ditutup, ramai yang hilang kerja; hari ini menampakkan sedikit sinar ceria bagi orang ramai, apabila kerajaan menetapkan untuk membenarkan seluruh perniagaan peruncitan beroperasi semula, di samping kebenaran untuk makan di restoran dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

“Bagi saya lebih baik kedai dibuka secara fizikal, daripada urusniaga dalam talian, yang pasti dapat menarik lebih ramai pelanggan; kerana walaupun dengan PKP, kami masih perlu bayar sewa, dan sekarang saya percaya lebih ramai pelanggan akan berpeluang untuk datang, lihat, dan pilih sendiri dengan lebih dekat barang yang dikehendaki,” kata seorang pekerja kedai di pusat pakaian Sireh Pinang Clothing di Wangsa Walk Mall di sini ketika ditemui hari ini.

Di pusat beli belah yang sama, penasihat kosmetik, Yuanita Puspa Deviana pula ketika ditemui berkata beliau amat lega apabila dapat kebenaran untuk membuka kembali perniagaan selepas kira-kira 28 hari tidak beroperasi, kerana menurutnya bagi bentuk perniagaannya, amat penting baginya untuk bersemuka dengan pelanggan secara fizikal.

Banyak kedai-kedai makan yang dibuka hari ini, dan rata-rata pelanggan dilihat memenuhi ruang makan, walaupun kawasan kedai itu jelas nampak lapang, selaras dengan pematuhan orang ramai dan juga pekedai kepada SOP – hanya dua orang di satu meja.

“Perniagaan kami di restoran, banyak perbezaan dari segi jualan apabila makan di ruang makan restoran dibenarkan. Jualan memang terjejas apabila makan di restoran tidak dibenarkan, kerana lebih ramai pelanggan memilih untuk memasak di rumah,” kata seorang pekerja restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Rusman, yang ditemui di sini.

Pada hari pertama skatan dilonggarkan, tinjauan rambang Bernama mendapati rata-rata premis perniagaan dilihat mematuhi SOP dengan rapi, seperti mengehadkan jumlah pelanggan di premis, penggunaan kod QR MySejahtera, memeriksa suhu badan dan penyediaan cecair pembasmi kuman.

Di PERAK, rata-rata peniaga, terutama kedai-kedai makan, dilihat bersemangat melayan pelanggan di premis masing-masing dengan pematuhan SOP yang ketat.

Tinjauan di Medan Selera Dataran Dato Sagor, Ipoh mendapati para pelanggan mematuhi SOP ditetapkan iaitu hanya dua orang dibenarkan makan di setiap meja.

Di PULAU PINANG, para peniaga memanfaatkan kelonggaran yang diberikan kerajaan itu dengan membuat pelbagai promosi untuk menarik pelanggan sempena perayaan Tahun Baharu Cina Jumaat ini.

Seorang pemilik kedai pakaian dan aksesori, Rinnie Tan, 58, berkata meskipun operasi kedainya dibuka pada saat akhir, namun itu tidak membantutkan usahanya untuk melakukan promosi jualan sehingga 70 peratus bagi pelanggan yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Tinjauan di PAHANG, NEGERI SEMBILAN, KELANTAN dan SABAH, rata-rata peniaga meluahkan rasa lega dengan langkah kerajaan membenarkan orang ramai makan di premis makanan, dan menyifatkan langkah itu mampu menjana semula pendapatan mereka yang terjejas sebelum ini.

Peniaga kedai makan di Seremban, Abdul Rahmat Aziz, 52, berkata keputusan itu menunjukan keprihatinan kerajaan dengan rungutan rakyat khususnya peniaga kecil.

Senada dengan Abdul Rahmat, seorang peniaga kedai makan di Kota Bharu, Siti Salinawati Mat Salleh, 34, berkata beliau bersyukur sebaik sahaja mengetahui kerajaan mula membenarkan semula pelanggan untuk makan di kedai.

Seorang pengurus restoran India Muslim di Kota Kinabalu, Shan Ibrahim, 33, pula berkata kelonggaran itu amat melegakan peniaga restoran yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Pemilik kedai bunga, Lew Lee Ting, 50, di Pahang, turut memanfaatkan peluang yang ada dengan membuka semula perniagaan termasuk tidak menutup perniagaan pada Tahun Baharu Cina supaya dapat menjana semula pendapatan selepas lama tidak beroperasi.

Di MELAKA, seorang pelanggan Siti Nurzakiah Muhammed Rashid, 21, berkata pengumuman kerajaan itu sudah cukup memuaskan kerana ia sedikit sebanyak memudahkan para pelanggan seperti pekerja pejabat untuk membeli makanan dan minuman.

Berkongsi rasa gembira dengan pengumuman itu, seorang pelanggan di PERLIS, Norziah Ahmad, 32 berkata beliau lebih rasa puas dapat makan di kedai berbanding bungkus makanan dan makan di tempat kerja.

Di KEDAH dan SELANGOR juga, rata-rata peniaga tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun dengan syarat yang ketat.

Seorang peniaga kedai burger di Alor Setar, Muhammad Aswad Ahmad, 28, berkata dia dan pekerja kedainya mengikuti semua SOP yang telah digariskan oleh kerajaan dan memastikan setiap pelanggan yang datang makan di kedainya mematuhi arahan dengan memakai penutup hidung dan mulut, mengambil suhu dan mengimbas Kod QR MySejahtera.

Pemilik sebuah restoran di Shah Alam, Datuk Hakimsa Abdul Karim, 60, pula berkata pihaknya turut menetapkan waktu makan untuk setiap pelanggan kurang 45 minit supaya mereka tidak makan terlalu lama.

-BERNAMA


Pengarang :