Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Perangkaan: Ekonomi negara catat -5.6 peratus pada 2020 akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penyusutan 3.4 peratus pada suku keempat 2020 dalam keadaan peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19 sekali gus menjadikan prestasi keseluruhan tahun kepada -5.6 peratus berikutan perintah sekatan dan penutupan sempadan di peringkat global.

Sektor pembuatan merupakan penyumbang utama ekonomi pada suku keempat 2020 apabila mencatatkan pertumbuhan positif manakala perkhidmatan, perladangan dan perlombongan masing-masing mengalami penguncupan.

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kali terakhir KDNK tahunan negara mencatatkan kemerosotan adalah pada 2009 dengan -1.5 peratus dan prestasi tahunan 2020 merupakan penyusutan kedua terbesar selepas 1998 pada -7.4 peratus akibat Krisis Kewangan Asia.

Bercakap pada sidang media pengumuman prestasi KDNK suku keempat 2020 pada Khamis, beliau berkata pertumbuhan lebih perlahan pada suku berkenaan disebabkan terutama oleh sekatan pergerakan yang lebih ketat selain gangguan bekalan komoditi.

“Bagaimanapun ia diimbangi oleh pertumbuhan berterusan dari segi permintaan luaran,” katanya.

Pertumbuhan ekonomi pada 2020 adalah sedikit lebih rendah berbanding dengan unjuran awal Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu di antara -3.5 peratus dengan -5.5 peratus.

– BERNAMA


Pengarang :