Pengunjung mematuhi penjarakan sosial ketika mengikuti upacara sembahyang di Shah Alam Buddhist Society, Shah Alam pada 12 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BUDAYARENCANA

Perayaan Tahun Lembu Emas dirai sederhana dalam suasana PKP

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ketibaan Tahun Lembu Emas hari ini diraikan secara sederhana oleh masyarakat Tionghoa dalam suasana baharu dan terikat kepada tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Meskipun tanpa tarian singa, naga, pertunjukan bunga api secara besar-besaran atau rumah terbuka, aktiviti keagamaan di tokong dan amalan mengunjungi keluarga masih dilakukan oleh mereka yang tinggal dalam jarak lingkungan 10 kilometer.

Tinjauan Bernama mendapati dalam keterbatasan yang dihadapi, masyarakat Cina di negara ini kekal positif dan berharap pengorbanan mereka kali ini dapat memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Di Klang, Selangor, upacara sembahyang di Tokong Kwan Imm, dijalankan dengan SOP ketat dan orang ramai dilihat mula beratur mengambil giliran untuk upacara sembahyang seawal 7 pagi.

Program dikawal oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain proses sanitasi dilakukan setiap setengah jam oleh Persatuan Bulan Sabit Merah bagi mengekang penularan Covid-19 di samping menjaga kebersihan tokong tersebut.

Seorang pengunjung yang ditemui, Cheah Soo Lean, 82, berkata kali ini dia tidak perlu menunggu lama untuk memasuki tokong itu kerana jumlah yang hadir tidak ramai seperti tahun-tahun sudah dengan kebanyakan yang datang cuma untuk sembahyang, tidak menunggu persembahan tarian singa seperti kebiasaan.

Kerajaan Negeri Selangor pula akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri secara dalam talian dan disiarkan di laman Facebook Menteri Besar Selangor pada 9 malam ini.

Suasana kawasan perumahan agak lengang ketika tinjauan Media Selangor di Jalan 8, Ampang ketika sambutan Tahun Baharu Cina pada 12 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Situasi sama juga dapat dilihat di Tokong Zi Yun Tang, Seremban, Negeri Sembilan apabila kehadiran penganut di rumah ibadat itu didapati tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa kerana akur dengan arahan yang ditetapkan kerajaan.

Urusetia tokong, Ah Moi Kee, 69, berkata selain tiada persembahan tarian naga dan singa, pihak pengurusan tokong juga mewajibkan pemakaian pelitup muka serta memastikan pengunjung mematuhi penjarakan fizikal.

Seorang lagi penganut Buddha yang ditemui di Simpang Kuala Buddhist Temple, Alor Setar, Kedah, Tan Chin Eng, 31, berkata dia bersama dua lagi ahli keluarga datang ke tokong itu pada 9 pagi mengikut sesi yang ditetapkan pihak pengurusan setelah melalui proses pemilihan yang dibuat sebelum ini.

“Ada beberapa sesi sembahyang, bermula dari 6 pagi hingga 2 petang dengan setiap sesi mengambil masa 30 minit. Selepas habis satu sesi, pihak tokong akan menjalankan proses sanitasi sebelum membenarkan kumpulan lain pula untuk masuk bersembahyang,” katanya.

Di Melaka, lebih 33,000 masyarakat Cina menyambut perayaan itu dengan aktiviti kunjung-mengunjung, terhad kepada keluarga terdekat dalam jarak 10 kilometer.

Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Cina kepada Ketua Menteri Melaka, Yong Fun Juan berkata kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan dan angpau kepada kaum Tionghoa yang kurang berkemampuan agar dapat meraikan tahun baharu dalam suasana gembira.

Di bandar raya Johor Bahru pula yang pada tahun-tahun sebelum ini dipenuhi oleh warga Singapura yang datang berkunjung, sunyi memandangkan sempadan di antara Malaysia dan republik itu masih ditutup.

Suasana pasar raya ketika tinjauan Media Selangor di pasar raya Tesco Ampang, Ampang pada sambutan Tahun Baharu Cina 12 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menerusi hantaran di Facebook rasminya menyeru masyarakat memanfaatkan teknologi untuk berkomunikasi dengan kaum keluarga yang tinggal berjauhan agar kemeriahan sambutan perayaan tersebut masih dapat dirasai.

“Walaupun sambutan perayaan kali ini diraikan dalam suasana normal baharu, masyarakat seharusnya menghidupkan suasana kemeriahan dan mengukuhkan jalinan kekeluargaan dengan saling berhubung menggunakan teknologi yang ada,” katanya.

Pengerusi MCA Kelantan Chua Hock Kuan turut senada dengan kenyataan itu dan berharap kecanggihan teknologi yang ada dimanfaatkan untuk berhubung dengan ahli keluarga yang jauh.

“Teknologi mampu membolehkan kita melihat wajah kesayangan bergembira dengan memakai baju raya, saling mengucapkan Selamat Tahun Baharu dan berkongsi video makan-makan secara dalam talian bagi mengeratkan hubungan keluarga,” katanya.

Di Pahang pula, tinjauan mendapati sebahagian premis perniagaan dan makanan di sekitar Kuantan yang diusahakan oleh kaum Cina tetap beroperasi.

Menurut pengusaha kopitiam di Jalan Air Putih di sini, Ho Shu Joon, sudah menjadi kebiasaannya untuk membuka operasi perniagaan walaupun pada waktu perayaan.

– BERNAMA


Pengarang :