Selangorkini
AGENDA GLOBAL

Perbicaraan Trump bermula, enam republikan berpihak kepada demokrat

WASHINGTON, 10 FEB: Beberapa anggota Republikan, termasuk defendan, kecewa dengan prestasi pasukan pembelaan pada hari pertama perbicaraan bekas Presiden Donald Trump, beberapa jam selepas Dewan Senat meluluskan untuk meneruskan prosiding itu, lapor Agensi Berita Sputnik.

Senat, dengan majoriti 56-44, menyatakan perbicaraan itu adalah mengikut perlembagaan. Enam anggota Republikan antara yang menyokong perbicaraan diteruskan.

Demokrat dan beberapa Republikan berusaha untuk menggunakan satu-satunya Perkara Pendakwaan- hasutan pemberontakan – untuk memecat Trump daripada memegang jawatan awam, termasuk mencalonkan diri sebagai presiden pada 2024.

Sebelum peristiwa 6 Janurai di Capitol AS, Trump didakwa sering kali mengeluarkan kenyataan palsu mengenai terdapat penipuan dalam pilihan raya presiden 2020.

“Pasukan Presiden Trump tidak teratur, mereka melakukan apa sahaja yang boleh tetapi apabila ditanya mengenainya, mereka berdolak dalih seolah-olah malu dengan hujah mereka,” kata Senator Bill Cassidy pada Selasa .

Cassidy seorang daripada enam Senator Republikan yang berpihak kepada Demokrat.

“Sekiranya ‘saya seorang juri yang tidak berat sebelah, dan satu pihak melakukan pekerjaan dengan hebat, manakala pihak satu lagi pula berbeza, sebagai juri yang adil, saya akan memilih pihak yang melaksanakan tugas yang baik,” kata Cassidy.

Senator Republikan John Cornyn dan Ted Cruz, turut mengkritik pasukan pembelaan Trump.

Cornyn memberitahu wartawan, hujah yang diberikan pihak pembelaan bukan yang “terbaik” pernah dilihatnya. Cruz mengatakan pasukan pembelaan Trump gagal “menjalankan tugas dengan berkesan.”

CNN melaporkan Trump sendiri sangat marah dengan hujah pembukaan pasukan pembelaannya.

Peguam Trump Bruce Castor memberitahu wartawan pasukan pembelaan “melalui hari yang baik,” sambil menambah bahawa mereka tidak akan membuat penyesuaian tanpa mengambil kira kritikan yang diterima daripada senator.

Peguam David Schoen berkata beliau menganggap rakan setugasnya Castor sudah “melakukan yang terbaik.”

Castor dan Schoen hampir tidak menyertai pasukan undang-undang Trump awal bulan ini setelah lima peguam belanya, termasuk Butch Bowers dan Deborah Barbier, meninggalkan pasukan tersebut.

Sekurang-kurangnya 17 Senator Republikan perlu berpihak kepada Demokrat untuk memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk mendakwa Trump.

– BERNAMA

 


Pengarang :