Penumpang menyaksikan pesawat Malaysia Airlines mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 27 Julai 2014. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Pergerakan penumpang susut 82.6 peratus pada Januari – MAHB

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Pergerakan penumpang bagi rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merosot 82.6 peratus kepada 2.1 juta pada Januari 2021 daripada 11.89 juta pada bulan yang sama 2020.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Malaysia mencatatkan pergerakan penumpang keseluruhan sebanyak 800,000 pada Januari, penyusutan 91.6 peratus daripada angka yang dicatatkan pada Januari tahun lepas.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istabul (ISGA) di Turki merekodkan 1.3 juta pergerakan penumpang pada bulan yang sama, penurunan 55.4 peratus tahun ke tahun.

“Trafik bagi rangkaian lapangan terbang MAHB terus terjejas ekoran sekatan perjalanan antara negeri yang dikenakan semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 13 Januari 2021 di Malaysia serta perintah berkurung di Turki,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

Menurut MAHB jumlah penumpang sebanyak satu juta yang dicatatkan oleh ISGA pada bulan lepas menunjukkan wujud asas permintaan dan kepentingan perjalanan udara di Turki walaupun perintah berkurung yang ketat dan penggantungan penerbangan dari United Kingdom, Afrika Selatan dan Denmark.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula mencatatkan kurang daripada 300,000 pergerakan penumpang, dengan segmen antarabangsa dan domestik masing-masing mengalami penurunan sebanyak 97.6 peratus dan 88 peratus tahun ke tahun, jelasnya.

MAHB menjelaskan pergerakan penumpang bagi KLIA dan klia2 masing-masing merekodkan hanya 100,000 penumpang pada bulan lepas.

“Pergerakan pesawat keseluruhan di KLIA susut 85.8 peratus tahun ke tahun pada Januari 2021. Pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing berkurangan sebanyak 87.4 peratus dan 82.4 peratus tahun ke tahun,” jelasnya.

Menurut MAHB pergerakan pesawat keseluruhan bagi lapangan terbang Malaysia turun sebanyak 78.3 peratus tahun ke tahun, dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing susut sebanyak 87.3 peratus dan 72.4 peratus tahun ke tahun.

“Faktor muatan purata keseluruhan adalah 40.7 peratus, dengan sektor domestik merekodkan 54.7 peratus – penurunan 12.2 mata peratusan pada Januari 2020, sebahagiannya disebabkan sekatan perjalanan antara negeri,” katanya.

Dalam melangkah maju, MAHB menjelaskan ia menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam sektor domestik bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Ini akan didorong oleh faktor kes harian Covid-19 dapat dikurangkan secara berkesan, sekatan perjalanan antara negeri dilonggarkan dan keyakinan dalam kalangan penumpang semakin meningkat apabila jumlah penduduk yang menerima suntikan vaksin bertambah, jelasnya.

Menurut MAHB pihaknya turut mengikuti rapat perkembangan terkini dan cabaran berkaitan varian virus baharu di samping pelaksanaan suntikan vaksin di Malaysia, Turki dan wilayah sekitarnya.

Kesan positif vaksin terhadap perjalanan udara di Malaysia dijangka lebih ketara sebaik sahaja barisan hadapan petugas kesihatan dan golongan berisiko tinggi menerima suntikan semasa fasa pertama pelaksanaan suntikan vaksin, diikuti penduduk yang lain mulai Mei, jelasnya.

– BERNAMA


Pengarang :