Ng Sze Han menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar di pusat khidmat DUN Kinrara, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Periksa mengejut ke rumah, hanya yang layak terima komputer riba percuma

PETALING, 28 FEB: Kaedah pemeriksaan mengejut ke rumah digunakan terhadap keluarga yang memohon komputer riba percuma bagi memastikan mereka benar-benar layak, kata Ahli Dewan Negeri Kinrara.

Menurut Ng Sze Han, kaedah itu dilaksanakan setelah pihaknya menerima lebih 500 permohonan komputer riba percuma menerusi Program Cerdik Kinrara yang dilancarkan sejak bulan lalu.

“Disebabkan hanya ada 100 komputer riba buat masa ini, kami perlu memilih mereka yang benar-benar layak sahaja supaya tidak ada golongan kurang mampu diketepikan.

“Oleh itu, setelah permohonan diterima, kakitangan pusat khidmat saya membuat kunjungan mengejut ke rumah mereka sekali gus dapat menilai dengan lebih dekat dan tepat sama ada penerima layak atau tidak,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan komputer riba percuma kepada 20 pelajar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kinrara, pagi tadi.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan berkenaan, Sze Han yang juga EXCO Kerajaan Tempatan berkata kos peruntukan membeli komputer riba adalah dari pusat khidmatnya serta sebahagiannya daripada derma orang ramai.

“Walaupun sudah ada segelintir pelajar sudah boleh ke sekolah, tetapi saya dapati komputer riba amat penting pada hari ini. Tetapi tidak semua dapat membelinya kerana kekangan kewangan keluarga.

“Sekiranya kita ada lagi peruntukan, program ini akan diteruskan dan lebih ramai keluarga kurang mampu dapat menggunakan komputer riba,” katanya.


Pengarang :