Orang ramai membeli barangan keperluan harian di kedai runcit Eka Barona ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan sekitar Pandan Jaya pada 22 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perniagaan kurang yakin prospek ekonomi suku pertama tahun ini

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Golongan peniaga menjadi lebih berhati-hati pada suku pertama 2021 susulan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 sekali gus mendorong pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Menurut DoSM, ia merupakan hasil dapatan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan untuk menyediakan Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi suku pertama 2021 yang dikeluarkan pada Jumaat, memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan akan datang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan dapatan statistik itu, peniaga lebih berhati-hati pada suku pertama 2021 dengan mencatatkan -11.3 peratus berbanding -10.8 peratus pada suku tahun lepas.

“Jangkaan ini dipengaruhi oleh peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang mendorong kepada pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara kecuali Sarawak dengan prosedur operasi standard yang lebih ketat pada pertengahan Januari 2021,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata empat sektor diliputi di dalam kaji selidik ini iaitu industri, perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pembinaan.

Antara kesemua sektor tersebut, sektor industri merupakan sektor utama yang menunjukkan isyarat pemulihan namun masih dalam sentimen pesimis dengan petunjuk keyakinan -4.4 peratus pada suku tahun rujukan berbanding -7.5 peratus pada suku keempat 2020, katanya.

Grafik portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia

Beliau berkata penambahbaikan bagi sektor industri ini disumbangkan oleh jangkaan yang lebih baik daripada subsektor pertanian dan perlombongan dengan petunjuk keyakinan masing-masing pada -6.4 peratus dan -24.7 peratus berbanding -24.1 peratus dan -40.9 peratus pada suku tahun lepas.

Antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan subsektor pertanian adalah perspektif positif terhadap harga minyak sawit mentah yang dijangka meningkat tahun ini.

Mohd Uzir berkata keyakinan perniagaan yang lebih rendah oleh sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit serta pembinaan dijangkakan pada suku pertama 2021.

“Sektor perkhidmatan serta perdagangan borong dan runcit mencatatkan petunjuk keyakinan masing-masing -15.0 peratus dan -11.8 peratus manakala sektor pembinaan kekal kurang memberangsangkan dengan -51.2 peratus berbanding -39.1 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut DoSM mengenai hasil kasar, 25.5 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka meningkat pada suku pertama 2021 manakala 36.5 peratus pula mengunjurkan penurunan sekali gus perbezaan ini mendorong kepada imbangan bersih -10.9 peratus.

Dalam masa yang sama, 75.9 peratus pertubuhan menjangkakan bilangan pekerja mereka kekal sama walaupun imbangan bersih -7.3 peratus, jelasnya.

“Selari dengan itu, 8.4 peratus pertubuhan berhasrat untuk menambah tenaga kerja, manakala 15.7 peratus pertubuhan pula menjangkakan pengurangan tenaga kerja pada suku pertama 2021,” menurut jabatan itu.

DoSM menjelaskan bagi tempoh separuh pertama 2021, peniaga menunjukkan prospek perniagaan yang menyederhana dengan imbangan bersih keseluruhan -4.6 peratus berbanding -3.7 peratus yang direkodkan sebelum ini.

“Sektor industri kekal optimis terhadap prestasi perniagaan dengan imbangan bersih +4.3 peratus bagi tempoh Januari sehingga Jun 2021,” menurutnya.

Jabatan itu juga mendapati sektor pembinaan serta perdagangan borong dan runcit turut menjangkakan tinjauan perniagaan yang lebih baik walaupun masih dalam keadaan negatif bagi enam bulan yang akan datang dengan imbangan bersih masing-masing -34.6 peratus dan -7.7 peratus berbanding -50.0 peratus dan -29.3 peratus yang dicatatkan bagi tempoh Oktober 2020 hingga Mac 2021.

Sektor perkhidmatan juga menjangkakan prestasi perniagaan yang mencabar pada enam bulan ke hadapan dengan imbangan bersih -11.7 peratus berbanding dengan -9.1 peratus bagi tempoh Oktober 2020 hingga Mac 2021, jelasnya.

-BERNAMA

 


Pengarang :