Persembahan tarian singa oleh Subang Hong Teck antara yang bakal memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2021 peringkat Selangor secara dalam talian. Foto Facebook Teng Chang Khim
AGENDANASIONAL

Persatuan akui sukar buat persembahan tarian singa secara maya

GEORGE TOWN, 9 FEB: Meskipun transformasi digital menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah ketika pandemik Covid-19, namun tidak semua dapat diselesaikan menerusi secara dalam talian.

Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Persatuan Wushu, Tarian Singa dan Naga Pulau Pinang sedang mempertimbangkan untuk mengadakan persembahan tarian singa secara maya sebagai meneruskan tradisi perayaan itu.

Namun, Presiden persatuan Datuk H’ng Ban Choon berkata persembahan tarian itu kemungkinan tidak dapat dilakukan susulan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini yang menyebabkan pusat latihan tidak dapat dibuka.

“Ketika Pulau Pinang berada dalam fasa pemulihan, pusat latihan dibenarkan untuk dibuka dengan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta mematuhi garis panduan diberikan.

“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan semula PKP, kami tidak mempunyai ruang di pusat latihan, dan kumpulan penari tidak dapat melakukan tarian singa dan naga, apatah lagi melakukannya secara maya,” katanya kepada Bernama.

Pada 4 Feb, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan persembahan tradisional dan aktiviti kebudayaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina seperti tarian singa dan naga, perarakan tanglung, persembahan opera Cina dan persembahan pentas tidak dibenarkan.

Sementara itu, H’ng mengakui walaupun berjaya melakukan persembahan tarian singa secara dalam talian, suasana tetap berbeza berbanding persembahan secara fizikal dan bergantung kepada penerimaan masyarakat terhadap norma baharu ini.

Katanya, suasana persembahan tarian singa melalui layar pastinya tidak semeriah seperti persembahan secara fizikal ketika meraikan perayaan seperti rumah terbuka, pembukaan besar-besaran, upacara perkahwinan dan perayaan Tahun Baharu Cina.

“Upacara menyalakan lampu di kuil Kek Lok Si, misalnya, boleh dijalankan secara dalam talian dan masih boleh mengekalkan suasana sebenar ketika menyaksikan lampu dinyalakan dari jauh atau berada di kuil.

“Sebaliknya, persembahan tarian singa secara dalam talian dapat memberikan pendedahan kepada tradisi tahunan sambutan Tahun Baharu Cina, namun ia tetap tidak sama ketika menyaksikan persembahan secara fizikal,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :