Dua wanita memakai topeng pelindung muka berjalan di sebuah kedai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina di Bangkok pada 24 Januari 2020. FOTO AFP
AGENSISELANGOR

Peruntuk lebih RM400,000 terbit program Tahun Baharu Cina dalam talian

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM414,000 bagi menjayakan program penerbitan sulung dalam talian sempena Tahun Baharu Cina 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) Dato’ Teng Chang Khim berkata jumlah itu meliputi bayaran pengarah dan artis profesional yang bakal membuat persembahan istimewa.

“Sambutan kali ini dilaksana melalui program di platform media sosial ekoran keadaan semasa pandemik Covid-19 yang tidak membenarkan penganjuran acara dan perhimpunan ramai.

“Kaedah penerbitan program istimewa secara maya diyakini memberi impak positif kepada masyarakat berbilang kaum memandangkan risiko penularan wabak masih tinggi,” katanya pada sidang media hari ini.

Chang Khim memaklumkan negeri itu antara yang terawal menerbitkan program melalui rangkaian media sosial bagi meraikan perayaan masyarakat Cina dalam suasana norma baharu.

“Belum ada kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri yang terbitkan program sambutan perayaan secara besar-besaran.

“Walaupun sukar menjangkakan penerimaan penonton namun saya percaya program ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai suasana perayaan,” katanya.

Bertemakan ‘Tahun Baharu, Harapan Baharu’, acara pada 12 Februari nanti membawakan 12 persembahan seperti nyanyian, tarian dan kebudayaan bermula jam 9 malam.

Orang ramai boleh menonton di laman Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari https://www.facebook.com/ami.mbselangor serta di beberapa media elektronik.


Pengarang :