Saringan Covid-19 dilakukan kepada kakitangan dan petugas media sebelum berlangsungnya sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Petaling kekal catat kes tertinggi dalam tempoh dua minggu

SHAH ALAM, 10 FEB: Petaling merekodkan sebanyak 531 kes harian Covid-19, kekal tertinggi berbanding daerah lain di Selangor sejak dua minggu lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata lebih separuh kes melibatkan mukim Damansara iaitu 371, Sungai Buloh (109), Petaling (42) dan Bukit Raja (sembilan).

Menurut agensi, daerah kedua tertinggi adalah Sepang dengan hampir keseluruhan kes dikesan di mukim Labu (266), Dengkil (26) dan Sepang (satu).

“Hulu Selangor pula mencatat 257 kes, Hulu Langat (207), Gombak (152), Klang (149) dan Kuala Selangor (127),” maklum JKNS melalui Facebook.

Jabatan itu berkata dua daerah merekod kes harian bawah 100 iaitu Kuala Langat (37) dan Sabak Bernam (tiga) selain satu kes import.

Kes harian Covid-19 di Selangor meningkat dua kali ganda berbanding semalam dengan catatan 1,757 kes dan lima lagi kematian.


Pengarang :