Anggota Rela menyukat suhu badan salah seorang pengunjung Pasar Pagi MPSJ Bandar Puchong Jaya yang kembali dibuka pada 16 Jun 2020 dengan SOP ketat. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP: 30,403 anggota Rela bantu polis, tentera

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah menggerakkan 30,403 anggotanya ke 157 daerah seluruh negara bagi pelbagai tugasan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Yahya Sulaiman berkata tugasan itu adalah bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memastikan PKP dipatuhi orang ramai.

“Antara peranan Rela ialah membantu PDRM dalam ‘task force’ penguatkuasaan, sekatan jalan raya (SJR), rondaan pemantauan di kawasan perumahan, kampung, pasaraya, bank serta pemantauan pematuhan SOP (tatcara operasi piawai) tempat tumpuan ramai,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya anggota Rela juga ditugaskan membantu kawalan keselamatan perimeter sekitar lokasi PKP, pusat atau stesen kuarantin, hospital dan membantu proses saringan kesihatan di pintu masuk utama negara selain menghantar sumbangan barangan keperluan dengan penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata Rela sedia menggandakan bilangan anggota dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan melandaikan keluk jangkitan Covid-19 ekoran pengumuman terkini kerajaan berhubung pelanjutan tempoh PKP.

“Anggota Rela diarah membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis perniagaan, tapak pembinaan, perkilangan, rumah ibadah, pasar malam serta taman awam.

“Sehubungan itu, anggota Rela melaksanakan tugasan ‘omnipresent’ (keberadaan) serta aktiviti pemantauan terhadap pematuhan kepada SOP berkaitan, memberi nasihat, teguran dan peringatan, kepada orang ramai melalui aktiviti hebahan kempen kesihatan mengenai amalan pencegahan penularan Covid-19,” katanya.

Yahya berkata anggota Rela juga diminta melaksanakan kempen kesedaran berkaitan Covid-19 secara berterusan dalam komuniti.

– BERNAMA


Pengarang :