Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kiri) dan Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu (tengah) menyerahkan barangan dapur kepada penduduk terjejas pendapatan susulan Covid-19 di Kabin Persatuan Penduduk Lorong Sarkawi (PPLS) Kampung Jalan Kebun, Shah Alam pada 14 Februari 2021. Foto Facebook Mohd Zawawi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

PKP: ADN Sungai Kandis agih barangan dapur, ringankan beban penduduk

SHAH ALAM, 15 FEB: Seramai 20 penduduk sekitar Kampung Jalan Kebun di sini yang terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima sumbangan barangan dapur.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata bantuan beras, tepung, minyak, telur dan sayuran hijau diagih menerusi program Gerobok Rezeki anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 11.

“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan individu terbabit serta peniaga dan petani dapat menjual hasil tanaman mereka.

“Diharapkan sumbangan ini membantu penduduk mendapat makanan berkhasiat dan seimbang sepanjang krisis pandemik Covid-19,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi SelangorKini semalam.

EXCO Kerajaan Negeri itu selepas mengagihkan bantuan di Kabin Persatuan Penduduk Lorong Sarkawi (PPLS) menambah program tersebut juga mampu menjimatkan kos perbelanjaan barangan dapur bagi membiayai pendidikan anak-anak mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

Individu memerlukan boleh mendapatkan bantuan itu secara percuma di lokasi terbabit yang beroperasi setiap hari kecuali Jumaat dari jam 5 hingga 7 petang.


Pengarang :