ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar menyampaikan sumbangan makanan daripada Kerajaan Negeri kepada individu yang di kuarantin dirumah pada 21 Januari 2021. Foto Facebook Halimey Abu Bakar
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKP: Bantuan keperluan asas DUN Seri Setia diteruskan

PETALING JAYA, 1 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sedia meneruskan inisiatif bank makanan kepada keluarga kurang berkemampuan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Wakil rakyatnya berkata bantuan melalui program Mesra Rakyat bagi meringankan beban golongan sasar susulan pandemik Covid-19.

Halimey Abu Bakar memaklumkan sumbangan itu merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, milo dan susu selain lampin pakai buang bayi.

“Peruntukan tambahan yang diberikan kepada ADN akan digunakan untuk membantu rakyat terutama ketika tempoh Covid-19 tetapi buat masa ini tumpu kepada mereka yang dikuarantin di rumah melalui dana sedia ada.

“Kita akan tengok dari semasa ke semasa sekiranya Kerajaan Pusat membuat keputusan perintah ini berterusan dengan lebih ketat,” katanya menambah 3,000 keluarga mendapat manfaat bakul makanan sejak Mac tahun lalu.

Bercakap pada sidang media berhubung isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 semalam, beliau berkata kira-kira 100 keluarga yang menjalani kuarantin di rumah mendapat bantuan makanan asas sejak awal bulan ini.

“Penyerahan dibuat di pintu kediaman individu berkenaan bagi mengelak interaksi bersemuka,” katanya lagi.

Pakej Kita Selangor memperuntukkan RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 kepada ahli parlimen bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.


Pengarang :