Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis sedia pasukan pengiring pastikan keselamatan vaksin

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini, kata Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad.

Beliau berkata bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terlibat dalam mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain penglibatan aset-aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Menurutnya sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

“Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.

“PDRM telah mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik dan cawangan khas akan terlibat dalam penugasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azri berkata selain terlibat dalam penugasan mengiringi kesemua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik dan juga balai polis bergerak.

Beliau berkata PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.

“Kami menganggap ini adalah tugasan yang sangat penting, kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tiada keperluan untuk jalan-jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.

“Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat, serta tiada keperluan juga untuk melakukan penutupan jalan,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :