SELANGOR

Polis Selangor terima laporan ajaran sesat ‘Islam Melayu’

SHAH ALAM, 2 FEB: Polis Selangor menerima beberapa laporan polis berhubung ajaran Islam Melayu dibawa individu yang dikenali sebagai ‘Ibu Yati’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Fadzil Ahmat berkata siasatan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Terkelas (JSJT) Bukit Aman berikutan laporan turut diterima di negeri lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan pihaknya sedang menunggu maklum balas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyiasat isu berkenaan.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan individu melakukan upacara paluan gong yang dipercayai ritual ajaran agama Melayu di sebuah pulau yang dipercayai di Pulau Besar, Melaka.

Agama itu didakwa menggunakan lafaz syahadah yang pelik (ila ha ila ra ila ma) dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali.


Pengarang :